Tuesday, July 20, 2010

BN MULA TERASA TAK SELAMAT DI SABAH DAN SARAWAK!

Hishammuddin dedah strategi 3S pembangkang


Hishamuddin Tun Hussein bersama para perwakilan UMNO Kota Marudu menunjukkan 1Malaysia semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Kota Marudu di Kota Marudu, Sabah, semalam.


KOTA MARUDU 20 Julai - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini mendedahkan strategi pakatan pembangkang dikenali 3S bertujuan mengukuhkan kembali pengaruh politik pakatan tersebut yang semakin longgar menjelang pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, strategi 3S tersebut merujuk kepada mempertahankan Selangor, serang Sabah dan serang Sarawak.

Sehubungan itu, beliau meminta semua ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) supaya bersedia berhadapan dengan serangan-serangan pakatan pembangkang yang bakal berkisar kepada politik kebencian dan mengadu-domba rakyat di negara ini.

''Mereka akan cuba memporak-perandakan perasaan rakyat. Melaga-lagakan Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak malah akan menggunakan agama untuk mencapai cita-cita mereka.''Oleh itu, jangan kita leka dan jangan kita berasa kita kuat. Kita mesti melawan apa sahaja tuduhan yang bakal dilemparkan pakatan pembangkang itu," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Marudu di sini hari ini.Hadir sama Ketua Bahagian UMNO Kota Marudu, Wetrom Bahanda dan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Salleh Said Keruak.

Hishammuddin berkata, pakatan pembangkang akan menggunakan pendekatan untuk meraih sokongan dan bukannya membela nasib rakyat. Katanya, bagi meraih sokongan itu mereka akan menyerang institusi seperti polis dan mahkamah, bermain dengan sentimen kenegerian serta menidakkan segala kejayaan yang dilakukan kerajaan hari ini.

Beliau menambah, serangan terhadap Felda merupakan salah satu gerakan halus pembangkang dalam menghakis keyakinan rakyat kepada kerajaan. 


Wednesday, May 19, 2010



Kemenangan di Sibu dan Halatuju PR

| May 20, 2010 11:33:48 am

Kemenangan di Sibu merupakan bukti kukuh bahawa pendekatan melalui PR mampu menghasilkan kemenangan bagi ketiga-tiga parti. Melalui kerjasama yang utuh, sokongan dari semua kaum dan peringkat masyarakat dapat diperolehi untuk kemenangan calon PR. Segala usaha untuk menafikan kemenangan PR yang dilakukan oleh BN dapat dipatahkan bersama.

Saya tidak berhajat untuk mengulas panjang di atas kemenagan yang telah diperolehi, tetapi dalam soal komitmen bertugas semasa PRK Sibu, di sini saya harus ucapkan tahniah kepada Mariah yang semasa saya meninggalkan Sibu, beliau memaklumkan bahawa beliau akan berada di sana sehingga selesai pengundian pada 16 Mei. 

Kegigihan beliau perlu dihargai dan di sini saya ingin menyebut nama beliau, mungkin sebagai salah seorang "unsung heroes" atau heroine PRK Sibu.

Semasa semua balik untuk digantikan dengan yang lain, bertugas secara shif atau "gelombang", beliau memainkan watak utama bagi menentukan adanya kesinambungan dalam gerak kerja yang berterusan. Saya pasti PAS serta parti komponen PR menghargai kegigihan yang beliau tunjukkan.


Selain dari mengucapkan tahniah kepada PR dan semua yang telah turun bertugas, saya sekali lagi ingin menegaskan mesej "Perkukuhkan PR" yang telah disebut berulang kali sebelum ini. 

Namun ianya perlu terus disebut berulang kali lagi supaya semua ahli parti komponen, para penyokong dan rakyat jelata memahami inilah masa depan politik negara kita. Ini supaya tiada yang akan teragak-agak dan tidak memberikan komitmen yang sepertimana sepatutnya.

Di antara tindakan utama yang perlu dilakukan bagi mengukuhkan lagi PR ialah dengan mengamalkan kerjasama bersepadu dan perkongian maklumat di antara parti komponen dalam soal memilih calon untuk PRU ke-13. 

Sekiranya ini dilakukan semasa PRU ke-12, berkemungkinan besar calon PKR untuk salah satu kerusi parlimen di utara tanah air akan digantikan dengan orang lain, kerana kesangsian PAS terhadap penyandang kerusi sekarang sudah pasti akan dimaklumkan kepada PKR untuk diteliti bersama.


Kesangsian yang menyebabkan beliau tidak dipilih sebagai calon PAS untuk kawasan tersebut walaupun telah menyatakan hasrat beliau beberapa kali tetapi akhirnya dipilih sebagai calun PKR. Hari ini kesangsian tersebut terbukti berasas. 

Berkemungkinan juga calon Wangsa Maju (gambar kanan) yang dipercayai mempunyai agenda tersendiri terhadap DAP turut ditolak awal-awal lagi. Agenda itulah yang akhirnya membawa beliau bertindak seperti hari ini.


Apa yang penting, calon-calon perlu memahami dan menyokong pendekatan perjuangan melalui PR supaya tidak akan berlaku lagi keadaan di mana seseorang calon dari sebuah parti dalam PR menyerang rakan dari parti PR yang lain. 

Keadaan yang sebegitu, hanya akan akan melemahkan PR dan menggugat keyakinan rakyat terhadap kesatuan PR. Keyakinan inilah yang sedang kita usahakan selama ini. Mungkin ada yang masih tidak faham mengapa usaha sebegini amat diperlukan.


Kalau pada Mac 2008 kita boleh memberi alasan bahawa kita "tidak sangka boleh menang" maka calon-calon dipilih secara mudah; asalkan ada calon dan ada yang pertandingan. 

Tetapi, PR tidak boleh lagi menggunakan alasan yang sama PRU yang akan datang. Kali ini kita bertanding dengan sangkaan dan harapan bahawa kita akan menang dan semua calon mesti merupakan calon yang mampu mempertahankan dasar PR dan tidak mudah dibeli dengan wang ringgit mahupun jawatan.
Kaedah kedua semestinya, sepertimana yang dilakukan di Sibu, PAS dibela oleh DAP di kalangan orang bukan Melayu dan bukan Islam dan pada masa yang sama DAP dibela oleh PAS di kalangan orang Islam. 

PKR membela kesemua di kalangan seluruh ahli masyarakat. Namun, pembelaan sebegini menjadi tidak bermakna sekiranya amalan pihak yang dibela tidak konsisten dengan apa yang disebut oleh pihak yang membela.

Oleh yang demikian PAS harus membebaskan dirinya dari mana-mana pendirian yang boleh memberikan persepsi bahawa ianya sebuah parti assobiyyah (perkauman) Melayu Muslim dan begitu juga DAP juga perlu lakukan yang sama terhadap persepsi chauvanis Cina yang ingin diletakkan oleh UMNO.

Ketiga, dan ini pada saya yang mungkin paling mencabar, iaitu satu suasana kerjasama dan kesatuan yang utuh mesti dizahirkan dan dibuktikan, bukan hanya melalui kata-kata sepertimana di dalam BN, tetapi yang lebih penting, dizahirkan melalui amalan dan tindakan.
 
Hentikan apa-apa sengketa secara terbuka dan tentukan semua dasar dicapai dan dipersetujui secara sepakat. Apabila dipersetujui di dalam rundingan tertutup, janganlah pula diluahkan rasa tidak puas hati secara terbuka melalui media masa. Jujur dalam persahabatan dan amalkan konsep kepimpinan melalui syura di kalangan parti PR dan juga di dalam parti sendiri.

Kita hanya mempunyai beberapa bulan lagi untuk bersiap sedia berhadapan dengan PRU ke-13 dan Allah telah memberi kita satu kemenangan besar yang cemerlang sebagai titik tolak untuk menghadapinya. Janganlah pula berasa selesa dengan apa yang ada, bekerja keraslah demi masa depan yang lebih baik kita bersama.

Akhir kata, perlu juga disedari bahawa kesatuan PR akan bakal diuji kembali. Yang terkini, hakikat bahawa DAP sekarang memperolehi 28 kerusi Parlimen dan PKR pula hanya tinggal dengan 25 (dari 31 pada asalnya) akan dijadikan isu. 

Kerusi PKR berkurangan disebabkan 5 pengkhianat dan kekalahan di Hulu Selangor. Dengan jumlah kerusi DAP yang melebihi PKR, isu Ketua Pembangkang akan ditimbulkan kembali oleh juara persoalan ini iaitu Khairy Jamaluddin. 

Pimpinan PR harus berbincang akan persoalan ini dengan baik dan menyelesaikannya dengan penuh bijaksana.

Sekiranya ini ditangani dengan baik, maka akan timbul pula persoalan Ketua Pembangkang sekali lagi sekiranya Anwar Ibrahim ditahan akibat dari sandiwara yang sedang berlangsung sekarang ini. 

Perkara ini juga perlu difikirkan bersama dan diselesaikan dengan sebaik mungkin.

Walaupun UMNO/BN sebenarnya yang merupakan masalah utama untuk rakyat di negara ini, mereka ini tidak akan berhenti dari meneruskan usaha merekacipta pelbagai masalah bagi PR dan seluruh rakyat jelata. 

Lebih- lebih lagi dengan kemenangan terbaru di Sibu. Namun dengan kebijaksanaan dan melalui kaedah Siyasah Syariyyah, saya yakin, insyaAllah ianya mampu diatasi bersama - asalkan kita sentiasa ingat siapakah kawan kita dan siapakah lawan kita yang sebenarnya.

*Tulisan ini dipetik dari blog Khalid Samad, ahli parlimen Shah Alam. Beliau ialah pemimpin PAS yang kini digantung jawatan partinya.





Malaysia Timur bukan lagi deposit tetap BN

Chen Shaua Fui dan Wong Shu Qi | May 17, 2010 04:28:22 pm

Keputusan PRK Sibu merupakan lambang kemenangan Pakatan Rakyat (PR) di Sarawak, dan tsunami politik telah melanda ke tebing Laut China Selatan. "Malaysia Timur bukan lagi deposit tetap Barisan Nasional," kata penganalisa politik, Wong Chin Huat.

Ketika ditemuramah MerdekaReview, Wong Chin Huat (gambar kanan) membaca kemenangan DAP dalam PRK Sibu sebagai kemenangan PR. Untuk Wong Chin Huat, hasil daripada kerjasama PR, DAP telah meraih sokongan di kawasan bukan Cina, selain kawasan pengundian yang majoritinya kaum Cina.

"Tiada sesiapa yang boleh mendakwa bahawa Malaysia Timur adalah deposit tetap BN pada hari ini. Tidak semestinya begitu. Keputusan PRK juga menunjukkan bahawa bukan sahaja Cina yang menolak BN, malah undi Melayu juga kurang mantap (untuk BN)," kata Wong Chin Huat.

Menurut Wong Chin Huat, mustahil DAP hanya menang dengan kawasan Pelawan (majoriti Cina), kerana penambahan undi ada batasnya. Dengan kata lain, DAP juga menang di peti undi lain. Keadaan ini cukup memberangsangkan terutamanya apabila beberapa peti undi di kawasan Nangka, yang memenangkan DAP daripada kekalahan PRU-12 lalu. Keadaan ini diperlihatkan di Teku, yang mana tiga peti undi daripada dua pusat pengundian kini memihak kepada DAP walaupun parti tersebut memihak kepada BN pada PRU ke-12.

Penambahan undi Cina
DAP sepatutnya memperolehi majoriti yang melebihi 2,000 undi, seandainya tiada "penyelewengan" seperti Suruhanjaya Pilihan Raya yang tidak profesional dan rasuah politik yang disogokkan secara terbuka, menurut Wong Chin Huat.

Selain daripada itu, SUPP mengulangi strategi MCA sebelum PRU ke-12, iaitu menyerang PR dengan isu Negara Islam. Strategi ini mungkin berjaya memandangkan wujudnya jurang politik yang melebar antara Malaysia Timur dan Barat, tetapi kini "tsunami politik" terbukti telah melanda tebing Laut China Selatan, kata Wong Chin Huat.

Selain daripada itu, ahli parlimen Bukit Bendera-DAP, Liew Chin Tong pula menyatakan bahawa keputusan PRK Sibu memperlihatkan DAP berjaya mengekalkan undi Iban dan Melayu, di samping penambahan undi Cina. Keadaan ini agak menarik apabila undi Melayu dan Iban tidak menjunam biarpun diserang dengan jentera negara dan rasuah politik yang berleluasa.

Situasi semestinya berbeza menjelang pilihan raya negeri atau pilihan raya umum, kerana taburan wang tunai dengan amaun yang besar, antara RM500 hingga RM600 kepada pengundi tidak mungkin berlaku dalam PRU. Dengan ini, pembangkang mungkin mempunyai peluang yang lebih untuk membuat kejutan.

SUPP mungkin jadi MIC
Kekalahan SUPP kali ini melakar gambaran politik di Sarawak, memperlihatkan bagaimana BN yang dikejar dari belakang kini menemui jalan buntu di hadapan. Agak sukar untuk SUPP mencari penarik undi untuk dirinya. Sementara pimpinan Ketua Menteri Taib Mahmud semakin hilang sokongan, SUPP juga tidak boleh mengharapkan Pengerusi BN, Najib Razak. Dengan ini, SUPP mungkin mengikut jejak MIC pada PRU yang akan datang.

Sebaliknya, Wong Chin Huat melihat kerjasama PR bakal melepasi rintangan di sesetengah kawasan. Sungguhpun masih jauh untuk PR menguasai kerajaan negeri di Sarawak, namun kemenangan ini semestinya menyuntik semangat kepada PR.

Selain itu, Liew Chin Tong berkata bahawa PRK Sibu telah menggagalkan strategi lawan yang menggunakan "Negara Islam" sebagai senjata untuk menakut-nakutkan komuniti bukan Islam. Beliau menambah, PRK ini memberi kesan kepada kelangsungan SUPP memandangkan parti ini gagal menarik sokongan pengundi baru, meskipun mengekalkan asas sokongannya.

SUPP ditubuhkan pada 19 Jun 1959, membuka tirai kepada perjuangan politik sayap kiri melalui dewan perundangan. SUPP adalah parti yang membantah rancangan Malaysia, tetapi menyertai kerajaan pada tahun 1970. Kini, SUPP muncul sebagai parti kedua terbesar di Sarawak, tetapi mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya negeri pada tahun 2006. SUPP kian lemah apabila melalui pergelutan kuasa dalaman sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

UMNO mempercepatkan langkah ke Sarawak
Selain itu, Wong Chin Huat juga menganggap kemenangan PR dalam PRK Sibu akan mempercepatkan langkah UMNO memasuki Sarawak. Bagaimanapun, Wong Chin Huat menjangkakan dilema yang dihadapi UMNO, kerana kemasukannya ke dalam Sarawak seolah-olah langkah membunuh diri, sebaliknya keadaan BN gagal diredakan seandainya UMNO tidak masuk ke Sarawak.


"Hari keesokan Malaysia menjadi menarik selepas hari ini," kata Wong Chin Huat ketika ditemuramahMerdekaReview, semalam.
Liew Chin Tong pula menganalisa politik Sarawak dari segi geografinya, yang mana DAP telah menembusi Sarawak Selatan (Kuching), kini pula bertapak di Sarawak Tengah berikutan kemenangan ini. Presiden SUPP George Chan Hong Nam sedang menguasai Utara Sarawak setakat ini.

Menurut Liew Chin Tong (gambar kiri), biasanya DAP akan bertanding tiga kawasan parlimen di pertengahan Sarawak, iaitu Lanang, Sibu dan Sarikei, tetapi kalah setiap kali. Di bawah tiga kawasan parlimen ini, DAP berniat bertanding di lima hingga enam kerusi DUN. Dalam pilihan raya negeri pada tahun 2006, DAP telah memenangi Bukit Assek (juga oleh Richard Wong Ho Leng) dan Meradong. Kini, DAP boleh menaruh harapan untuk menyerang ke arah Utara.

Kedua-dua Liew dan Wong meramalkan pilihan raya negeri Sarawak pada tahun ini, namun menjangka ia mungkin ditundakan sehingga tahun depan, atau diadakan bersama PRU ke-13, selepas kekalahan BN semalam.

*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor, dan Wong Shu Qi ialah wartawan MerdekaReview. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang dari teks asal.